Saturday, August 7, 2010

Majlis Anugerah Cemerlang 2010

Majlis Anugerah Cemerlang SMK Derma bagi tahun 2010 telah diadakan pada 2 dan 3 Ogos yang lalu. Bertempat di Dewan Syed Mahmood yang masih lagi teguh berdiri, majlis yang gilang gemilang ini telah disempurnakan perasmiannya pada 3 Ogos 2010 oleh YB Tuan Japferi bin Othman. Beliau adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Jemputan khas mula tiba di perkarangan sekolah seawal jam 8.30 pagi. Tuan Pengarah Pelajaran Perlis turut sama memeriahkan majlis tahunan ini. Tepat jam 9.00 pagi, ketibaan YB Tuan Japferi menandakan bermulanya majlis yang telah berminggu-minggu membuatkan seluruh warga Derma sibuk. Acara dimulakan dengan penerimaan tabik hormat oleh PKBM kemudian disusuli oleh persembahan kawad formasi oleh Kadet Polis Wanita. Majlis telah berlangsung dengan lancar dan tetamu-tetamu telah dihidangkan dengan pelbagai persembahan oleh pelajar-pelajar SMK Derma sendiri. Walaupun begitu hampir dengan Percubaan PMR dan juga SPM, semua guru dan pelajar SMK Derma telah menunjukkan komitmen yang amat hebat dan patut diberi pujian dalam menjayakan Majlis Anugerah Cemerlang pada tahun ini. Terima kasih dan tahniah untuk semua!

Oleh:
azaleaizha